Tuesday, March 10, 2009

Imanlah Penggerak Kehidupan Dinamik


Perubahan suatu masyarakat tidak mungkin terjadi secara tiba-tiba atau secara kebetulan. Berbagai bangsa di dunia mencapai kebangkitan setelah tidur, menjadi kuat setelah mengalami kelemahan, dan mengalami kemajuan setelah mundur; setelah mereka mendapat didikan sihat dan baik. Atau dengan lain perkataan, setelah mengalami perubahan jiwa dan pola berfikir. Mereka yang asalnya pasif menjadi aktif dan yang berputus asa menjadi bersemangat dan berkemahuan keras.

Perubahan jiwa merupakan suatu pembaharuan dan perubahan dalam falsafah dan pandangan hidup, cita-cita dan semangat, kehendak dan kebiasaan. Setiap gerakan dan kebangkitan, politik dan ekonomi hendaknya sejalan dengan perubahan jiwa dan semangat.

Demikianlah sunnatullah, hukum Allah Subha Nahu Wa Ta'ala dalam kehidupan ini seperti yang ditegaskan di dalam Al-Quran dengan kalimat yang singkat tetapi tepat, iaitu;

"Sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah (keadaan mereka) sendiri."
[Ar-raad:11]

Perubahan diri dan semangat bukanlah suatu hal yang mudah dan ringan untuk dilakukan, tetapi sebaliknya merupakan suatu hal yang berat dan sulit. Sebab manusia merupakan makhluk yang dalam dirinya bertemu dan bercampur berbagai macam sifat dan keadaan. Usaha membendung aliran sungai yang besar dan mengubah arah alirannya merupakan pekerjaan yang jauh lebih ringan daripada pekerjaan mengubah jiwa, pandangan hidup dan pola berfikir manusia.

Membangunkan satu perusahaan, membina sekolah dan membangunkan bangunan-bangunan, mudah dilakukan. Namun membangunkan jiwa dan mengubah pandangan hidup, amatlah sukar. Bukanlah pekerjaan ringan untuk menjadikan manusia agar dapat menguasai nafsunya, mengekang syahwatnya, mahu memberi di samping menerima, mahu menunaikan kewajibannya disamping mengambil dan menuntut haknya, mahu mengetahui dan menerima kebenaran, dan berani membela serta menegakkan kebenaran itu. Membentuk manusia yang mahu bersusah payah dan menanggung keletihan untuk memperbaiki keadaan yang rosak, rela berkorban untuk mengajak dan menyeru manusia melakukan kebajikan, mencegah kemungkaran, rela mengorbankan jiwa dan harta di jalan kebenaran; adalah merupakan pekerjaan yang tidak mudah dicapai.

Walaubagaimanapun, kekuatan iman merupakan sesuatu yang 'ajaib'. Iman dapat mempersiapkan jiwa manusia untuk menerima pemikiran yang segar, walaupun hal itu mengandung tanggungjawab dan kewajipan, pengorbanan dan kesusahan. Imanlah satu-satunya unsur yang dapat mencetuskan perubahan dalam jiwa manusia dan mampu memberikan manusia satu nafas baru, yang akan diikuti pula dengan perubahan pada pandangan hidup dan jalan hidup yang ditempuhnya. Seterusnya akan berubah pula perilaku, cita-cita, perasaan dan pertimbangan hidupnya. Kalau kita amati seseorang yang melalui kehidupan pada dua keadaan; sebelum dan selepas Islam, akan jelas kepada kita bahawa kehidupannya selepas tunduk kepada Islam tidak sama dengan keadaan sebelumnya.

Iman akan memberikan pengaruh drastik kepada kehidupan seseorang tanpa mengira peringkat kehidupan seseorang. Tidak seperti teori para psikologis dan para pendidik, di mana mereka mengandaikan keberkesanan pendidikan adalah terbatas kepada peringkat-peringkat tertentu dalam kehidupan seseorang manusia.

Para psikologis telah menetapkan zaman kanak-kanak sebagai masa penerimaan dan pembentukan tingkah laku. Jika satu sifat tertentu telah tertanam dalam jiwa seseorang, sulitlah untuk dilakukan perubahan kerana telah menjadi sifat yang tetap. Bebeza halnya dengan pengaruh kekuatan iman. Apabila iman telah tertanam dan tumbuh di dalam jiwa seseorang, maka iman ini akan mengubah tujuan hidup seseorang, dan mengubah pandangan hidupnya, baik tentang alam, maupun kehidupan ini. Semuanya tidak terbatas kepada masa, baik pada zaman kanak-kanak, remaja, dewasa maupun pada masa tua.

Sebagai contoh, lihatlah kisah tukang-tukang sihir Firaun, seperti yang dikisahkan di dalam Al-Quran dalam surah Asy-Syuara ayat 32 hingga 51, dan pendirian mereka terhadap ancaman Firaun untuk menyiksa dan membunuh mereka apabila mereka beriman kepada Allah Subha Nahu Wa Ta'ala sebagaimana diceritakan oleh Allah Subha Nahu Wa Ta'ala dalam surah Thaha, ayat 71 hingga 73.

Perhatikan, bagaimana besarnya perubahan jiwa tukang-tukang sihir itu setelah beriman. Pandangan dan pertimbangan akal fikiran mereka telah berubah, bagai siang dan malam. Betapa manisnya iman yang mereka nikmati, sehingga dengan tegas dan berani, mereka menjawab ancaman Firaun, "Kami sekali-kali tidak mengutamakan kamu daripada bukti-bukti yang nyata (mukjizat), yang telah datang kepada kami."

Iman memberikan seseorang suatu didikan yang baik, sehingga terbentuk peribadi yang baik yang yakin kepada Allah, takut kepada siksaan-Nya, tunduk merendah diri kepada-Nya, bersedia menjalankan perintah-Nya, bekerja, berjuang dan berkorban dengan harta, jiwa dan raga, penuh keikhlasan dengan hanya mengharapkan keredhaan-Nya.

Oleh kerana itu, seoraang peniaga atau usahawan yang beriman, akan menjadi peniaga atau usahawan yang jujur. Seorang miskin yang beriman akan selalu menjaga kehormatannya dan selalu bekerja keras. Seorang buruh atau pegawai yang beriman akan menjadi buruh atau pegawai yang dedikasi dan jujur. Seorang kaya yang beriman akan menjadi seorang yang dermawan dan suka menolong. Seorang hakim yang beriman akan menjadi hakim yang adil dan saksama. Orang yang beriman apabila diberikan kepercayaan untuk menjaga harta milik umum, maka ia akan menjaganya dengan amanah. Tegasnya iman dapat membentuk peribadi yang ulung dan agung pada diri seseorang.

Daripada peribadi-peribadi yang lahir itulah akan terbentuk masyarakat Islam yang baik dan memberi kebaikan, baik kepada individu mahupun masyarakat, dunia dan akhirat. Untuk membangunkan satu masyarakat yang adil, makmur dan beradab, tidak dapat tidak, jiwa individu yang menganggotai sesuatu masyarakat itu perlulah dibina dengan iman. Inilah yang telah dilaksanakan oleh junjungan mulia Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam.

Rujukan: Iman dan Kehidupan, Yusuf Qaradawi


Tanpa iman yang teguh dan jitu mana mungkin kita akan terselamat dan mampu membentengi diri kita daripada perkara2 mungkar...Iman ibarat menara kawalan manakala kita pula ibarat kapal terbang...Jika kapal terbang atau bot sekalipun putus atau hilang kawalan dengan menara kawalan atau menara api sekalipun, ia akan hilang arah dan tidak dapat balik ke pengkalan atau pangkal jalan...Itulah perumpamaan betapa pentingnya peranan iman dalam kehidupan seorang mukmin di sisi Allah.

Monday, March 9, 2009

7 Perangkap Syaitan...


Dengan memandang dan memperhatikan cara bagaimana (modus operandi) syaitan menyesatkan manusia, seseorang akan menjadikan syaitan sebagai musuh, berusaha menjaga diri secara maksima daripada godaannya, memelihara diri, sedar dan sentiasa ingat terhadap apa yang diinginkan oleh musuh tersebut sedang ia tidak merasainya. Syaitan ingin memerangkapnya dengan tujuh macam perangkap. Sebahagiannya lebih sulit dari sebahagian yang lain. Dan syaitan tidak akan beralih dari perangkap yang berat kepada yang lebih ringan kecuali jika ia tidak berhasil dengan perangkap tersebut.

Perangkap Pertama: Kufur Kepada Allah Subhanahu wa Taala, Agama-Nya, Pertemuan Dengan-Nya, Kesempurnaan Sifat-Sifat-Nya, Dan Ingkar Terhadap Berita-Berita Yang Disampaikan Oleh Para Rasul-Nya

Apabila syaitan berhasil dengan perangkap ini, maka padamlah api permusuhannya, dan dia akan beristirehat. Tetapi jika seorang hamba berhasil mengatasi perangkap ini dan selamat daripadanya dengan hidayah dan cahaya iman, maka syaitan akan beralih kepada tingkatan kedua.

Perangkap Kedua: Bid'ah.

Bid'ah ini mungkin berupa keyakinan yang menyalahi kebenaran yang dibawa oleh para rasul Allah Subhanahu wa Taala. Ia juga mungkin berlaku dalam bentuk ibadah dengan cara yang tidak diizinkan Allah Subhanahu wa Taala, seperti syiar-syiar dan upacara-upacara yang diada-adakan di dalam agama. Kedua jenis bid'ah ini (aqidah dan ibadah) pada umumnya berkaitan antara satu dengan yang lain, jarang sekali yang satu terlepas dari yang yang satu lagi.

Perangkap ini dapat diatasi dengan cahaya sunnah, atau iltizam (berterusan) mengikuti sunnah dan perilaku para salaf yang soleh dari kalangan sahabat dan tabi'in. Tetapi pada zaman kebelakangan ini, sangat sulit ditemukan manusia jenis ini. Jika ada orang yang bersikap sedemikian, maka para ahli bid'ah akan memasang jerat, berusaha membinasakannya dan mengolok-oloknya sebagai "ahli bid'ah, tukang mengada-ada."

Perangkap dengan jalan bid’ah ini disukai oleh syaitan, kerana bid'ah bererti melawan agama dan menolak ajaran yang dibawa oleh rasul. Pelakunya tidak akan bertaubat dan tidak akan surut ke belakang, bahkan selalu mengajak orang lain untuk turut berbuat bid'ah. Juga kerana bid'ah mengandung perkataan atas nama Allah tanpa berdasarkan ilmu maka dengan bid'ah orang akan memusuhi sunnah dan juga orang yang melakukan sunnah. Dengan bid'ah, orang akan berusaha keras untuk memadamkan cahaya sunnah. Disebabkan bid'ah, orang akan mempergunakan sesuatu yang ditolak Allah dan rasul-Nya, dan menolak apa yang disuruh oleh Allah. Disebabkan bid'ah, orang akan bersikap setia kepada orang yang memusuhi Allah, dan memusuhi orang yang setia kepada Allah, menetapkan apa yang ditiadakan Allah dan meniadakan apa yang ditetapkan Allah, membernarkan yang dusta dan mendustakan yang benar, menentang kebenaran dan keadilan dan memutarbelitkan hakikat dengan menjadikan yang benar sebagai batil dan yang batil sebagai kebenaran, menyelewengkan agama Allah, membuat hati buta akan kebenaran, membengkokkan jalan Allah yang lurus, dan membuka pintu untuk mengganti agama Allah secara keseluruhan.

Kerana bid'ah-bid'ah itu akan terus meningkat sedikit demi sedikit, dari yang kecil hingga menjadi besar, hingga melepaskan pelakunya dari agama. Tidak ada yang selamat daripada kemudaratan bid'ah ini kecuali orang-orang yang mempunyai bashirah iaitu pandangan batin yang terang.

“Barangsiapa yang tidak diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah, tiadalah dia mempunyai cahaya sedikit pun.” (An-Nur:40)

Jika Allah Subhanahu wa Taala memberinya pertolongan untuk mengatasi perangkap ini, maka syaitan akan beralih kepada perangkap ketiga.

Perangkap Ketiga: Dosa-Dosa Besar.

Pada peringkat ini, syaitan akan berusaha untuk mengindahkan dosa-dosa pada pandangan mata seorang hamba. Ditimbulkannya sikap menunda-nunda, dibuka kepadanya pintu pengharapan, dan dikatakan kepadanya, 'Iman hanyalah keyakinan semata-mata, sehingga tidak ada perbuatan maksiat yang dicela di dalam iman (asalkan masih beriman)."

Apabila dia dapat melintasi perangkap ini dengan perlindungan Allah atau dengan taubat yang tulus yang menyelamatkannya dari bid’ah, maka syaitan akan mengekorinya dengan perangkap yang seterusnya.

Perangkap Keempat: Dosa-Dosa Kecil.

syaitan menimbang dosa-dosa ini untuknya dengan timbangan seraya mengatakan, “Tidak mengapa kamu melakukan dosa-dosa kecil asalkan kamu jauhi dosa-dosa besar. Apakah kamu tidak tahu bahawa dosa-dosa kecil dapat dihapus dengan menjauhi dosa-dosa besar dan dengan melakukan kebaikan-kebaikan?” Akibatnya, seorang hamba menganggap ringan terhadap dosa-dosa kecil sehingga dia senantiasa melakukannya. Kerana itu, orang yang melakukan dosa besar kemudian merasa takut dan menyesal adalah lebih baik daripada golongan ini. Sedangkan tidak lagi dinamakan dosa kecil apabila ianya dilakukan secara terus-menerus. Nabi s.a.w. bersabda:

“Jauhkan dirimu dari dosa-dosa kecil!" Kemudian beliau membuat perumpamaan untuknya dengan suatu kaum yang singgah di suatu tanah lapang. Lalu mereka memerlukan kayu bakar, maka si anu mengambil satu ranting dan si anu satu ranting, sedikit demi sedikit, akhirnya terkumpullah kayu bakar yang banyak. Kemudian mereka menyalakan api, hingga mereka boleh memasak roti mereka. Demikianlah diumpamakan dosa-dosa kecil itu bertumpuk pada seseorang, sedang dia meremehkannya, hingga dosa-dosa itu membinasakannya.

Perangkap Kelima: Hal-Hal Harus (Mubah) Yang Tidak Terlarang Untuk Dilakukan.

Lalu dia sibuk dengan hal-hal mubah itu sehingga tidak memperbanyakkan ketaatan, dan tidak bersungguh-sungguh di dalam mencari bekalan untuk kembali ke akhirat nanti, kemudian meningkat lagi keinginannya untuk meninggalkan hal-hal yang sunat, dan daripada meninggalkan hal-hal yang sunat kemudian berlanjutan meninggalkan sebahagian amalan yang wajib. Kesan paling minima ialah seseorang itu tidak akan memperolehi keuntungan di dunia dan akhirat, penghasilan-penghasilan yang besar, dan kedudukan yang mulia.
Jika seorang hamba terselamat dari perangkap ini dengan pandangan hati (bashirah) yang sempurna dan cahaya petunjuk, mengetahui nilai ketaatan dan memperbanyakkan ketaatan, maka syaitan akan beralih kepada perangkap yang seterusnya.

Perangkap Keenam: Amalan-Amalan Ketaatan Yang Lemah Dan Kurang Utama.

Syaitan akan menyuruh melakukannya, menampakkannya baik dalam pandangannya, menghiasinya, dan memperlihatkan adanya keutamaan dan keuntungan di dalamnya, agar dia sibuk dengannya daripada sesuatu yang lebih utama dan besar keuntungannya. Apabila tidak berhasil menjadikan manusia langsung tidak mendapat pahala sama sekali, maka syaitan akan cuba pula untuk menghalang hamba tersebut supaya tidak mendapatkan kesempurnaan dan keutamaan, atau darjat yang tinggi. Maka syaitan akan menyibukkan hamba tersebut dengan sesuatu yang tidak utama daripada yang utama, yang lemah daripada yang kuat, yang dicintai Allah daripada yang lebih dicintai-Nya, yang diredhai daripada yang lebih diredhai-Nya.

Namun, tidak banyak jumlah orang yang dapat melepasi perangkap ini, kerana kebanyakan mereka telah berhasil dikalahkan syaitan pada perangkap-perangkap sebelumnya.

Untuk menyelamatkan diri daripada perangkap ini, seseorang hamba itu perlu mengetahui dan memahami martabat-martabat amalan-amalan di sisi Allah, dan keutamaan kedudukannya, mengerti nilainya, dapat membedakan antara yang tinggi dan yang rendah, antara yang tidak utama dan utama, antara kepala dan ekornya kerana setiap amalan-amalan itu ada mempunyai kedudukan dan keutamaannya di sisi Allah Subhanahu wa Taala, sebagaimana dikatakan dalam hadis sahih:
“Penghulu istighfar ialah seorang hamba mengucapkan, Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku. Tidak ada Tuhan yang berhak diibadati kecuali Engkau….”

Tidak ada yang dapat melintasi dan selamat dari perangkap ini kecuali orang-orang yang memiliki bashirah dan kesungguhan dari kalangan ahli ilmu, yang selalu berjalan menyusuri taufiq, menempatkan amalan-amalan pada tempatnya, dan memberikan hak kepada masing-masing yang berhak.

Apabila seorang hamba selamat dari perangkap ini, maka tinggal satu tingkatan lagi yang akan digunakan oleh musuh (syaitan) terhadap hamba (manusia). Kalau ada orang-orang yang dapat selamat darinya, maka mereka itu adalah para rasul, nabi-nabi Allah, dan manusia-manusia yang mulia. Rintangan itu adalah:

Perangkap Ketujuh: Menugaskan Tenteranya Untuk Mengganggu Seorang Hamba Dengan Bermacam-Macam Gangguan, Dengan Tangan, Lisan, Dan Hati, Menurut Martabat Hamba Tersebut Di Dalam Melaksanakan Ketaatan.

Kalau martabat orang itu tinggi, maka syaitan akan menugaskan pasukan berkuda dan pejalan kakinya, bahkan dibantu pula dengan tenteranya yang lain dan dikerahkan pula anggota-anggotanya dengan bermacam-macam tindakan.

Rintangan pada peringkat ini akan sentiasa wujud dan tidak dapat dihindari, kerana semakin bersungguh-sungguh seseorang dalam istiqamah dan dakwah kepada jalan dan agama Allah dan dalam melaksanakan perintah-perintah-Nya, maka musuh akan semakin meningkatkan usahanya di dalam menghasut orang-orang yang yang bodoh. Pada peringkat ini syaitan telah bersedia dengan baju perang. Kerana itu Mukmin sentiasa berada di dalam suasana perang terhadap musuh.

Maka ubudiyah (pengabdian) seorang hamba pada peringkat ini adalah ubudiyah orang-orang khusus dari kalangan arifin, dan inilah yang dinamakan dengan ubudiyah muraghamah (ubudiyah kepada Allah yang menjadikan syaitan marah), dan tidak ada yang menyedari hal ini kecuali orang-orang yang memiliki bashirah (mata batin) yang sempurna. Tidak ada sesuatu yang lebih dicintai oleh Allah daripada tindakan kekasih-Nya yang membangkitkan kemarahan musuh-Nya (kerana tidak mengikuti ajakannya), sebagaimana firmanNya
“Yang demikian itu ialah kerana mereka tidak ditimpa kehausan, kepayahan dan kelaparan di jalan Allah, dan tidak pula menginjak suatu tempat yang membangkitkan amarah orang-orang kafir, dan tidak menimpakan suatu bencana kepada musuh, melainkan dituliskan bagi mereka dengan yang demikian itu dengan amal soleh. Sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang yang berbuat baik.” (at-Taubah:120)

Dan Allah memberikan perumpamaan bagi Rasulullah SAW dan pengikut-pengikutnya:
“Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunas, maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat, lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan ketaatan orang-orang mukmin)” (al-Fath:29)

Maka menjengkelkan orang-orang kafir (dengan melaksanakan ketaatan kepada Allah) merupakan sesuatu yang dicintai Allah dan dituntut-Nya. Rasulullah SAW mensyariatkan kepada orang yang lupa melakukan sesuatu di dalam solahnya, agar melakukan sujud sahwi, dengan sabda beliau;
“Jika solahnya sudah sempurna, maka kedua sujud itu menghinakan syaitan.” Dan dalam satu riwayat yang lain “Menjengkelkan syaitan.”

Sejauh mana kecintaan hamba kepada Tuhannya, kesetiaannya kepada-Nya, dan permusuhannya terhadap musuh-Nya, maka sejauh itu pulalah bahagiannya dari muraghamah (menjengkelkan musuh Allah).

Ini termasuk masalah ubudiyah yang tidak banyak difahami orang. Barangsiapa yang merasakan kenikmatan dan kelazatannya, maka dia akan menangisi masa-masa lalunya (sebelum dia mengalami hal ini).

Allahlah tempat memohon pertolongan, hanya kepada Nya kita bertawakkal, dan tidak ada daya dan upaya kecuali dengan pertolonganNya.

Orang yang telah mencapai maqam (kedudukan spiritual) ini apabila memandang syaitan dan memperhatikan dosanya, maka dia akan membuat syaitan jengkel dengan melakukan taubat yang tulus, dan muraghamah (menjadikan syaitan jengkel) ini merupakan ubudiyah juga.

Rujukan: Madarij Salikin, Ibn Qayyim

Wednesday, March 4, 2009

Back Home Today

Setelah berpenat lelah sepanjang beberapa minggu di kampus,saya membuat keputusan untuk pulang ke rumah...untuk release tension....sebenarnya tidak lah se tension mana...cuma kekadang kita perlu jugak tukar suasana....
Dikelilingi kawan2 yang sama, environment pun sama, dengan suasana bilek sama...argh..kekadang oleh buat kita bingung...
7 hb ni saya akan ke KL atas sket urusan, dengan my lil sister....

Tuesday, March 3, 2009

Mengapa ingin menjadi Lawyer?!!

Soalan itu kerap bermain di kotak fikiran saya..saya sendiri kekadang tefikir kalau2 saya memilih course yang salah...
Apa saya mahu berundur sedang sudah hampir separuh satu dekad di bidang ini...saya sendiri kurang pasti...Kadang tu saya ada jugak terfikir nak sambung belajar ke oversea...tapi ada aje halangan2...kewangan yang goyah lagi goncang mengenepikan niat saya...Apakan daya...saya cuma ada Allah yang sentiasa membantu...
Saya perlu kuatkan semangat lagi...bidang ini bukan sesenang yang di jangka dan disangka...Saya sendiri kekadang tidak percaya boleh sampai ke tahap ini...heran betul kan...

Sunday, March 1, 2009

Jalan Menuju Taqwa



Takwa merupakan sumber segala kebaikan dalam masyarakat, sebagai satu-satunya cara untuk mencegah kerosakan, kejahatan dan perbuatan dosa. Bahkan, takwa merupakan tiang utama dalam pembinaan jiwa dan akhlak seseorang dalam rangka menghadapi fenomena kehidupan. Agar ia dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk dan agar ia bersabar atas segala ujian dan cubaan. Itulah hakikat takwa dan itulah pengaruhnya yang sangat memberi kesan dalam pembentukan peribadi seorang insan.
Jalan Mencapai Sifat Takwa
Di sini cukuplah kita mengutarakan faktor-faktor terpenting yang dapat menyuburkan takwa, mengukuhkannya di dalam hati dan jiwa seseorang Mukmin, dan menyatukannya dengan perasaan, semoga kita dapat mengikuti jejak menuju takwa.
Pertama: Mu’ahadah (Mengingat Perjanjian)
Kalimah ini diambil daripada firman Allah Yang Maha Tinggi;
“Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji…” [An-Nahl: 91]
Cara Mu’ahadah
Hendaklah seorang Mukmin berkhalwat (menyendiri) antara dia dan Allah Subha Nahu wa Taala untuk mengintrospeksi diri seraya berkata kepada dirinya; “Wahai jiwaku, sesungguhnya kamu telah berjanji kepada Rabbmu setiap hari disaat kamu berdiri di dalam solat membaca;
“Hanya kepada Engkau kami beribadah dan hanya kepada Engkau kami mohon bantuan.”
Wahai jiwaku, bukankah dalam munajat ini engkau telah berikrar tidak akan menghambakan diri kepada selain Dia. Tidakkah engkau telah berikrar untuk tetap komited kepada siratal mustaqim (jalan yang lurus). Tidakkah engkau telah berikrar untuk berpaling daripada jalan orang-orang yang sesat dan dimurkai Allah?
Kalau memang demikian, hati-hatilah wahai jiwaku. Janganlah engkau langgar janjimu setelah engkau jadikan Dia sebagai pengawasmu. Janganlah engkau mundur daripada jalan yang telah ditetapkan oleh Islam setelah engkau jadikan Allah Subha Nahu wa Taala sebagai saksimu. Hati-hatilah jangan sampai engkau mengikuti jalan orang-orang yang sesat dan menyesatkan setelah engkau jadikan Dia sebagai penunjuk jalan.
Hati-hati wahai jiwaku, jangan engkau engkar setelah beriman, jangan tersesat setelah engkau mendapatkan petunjuk, janganlah engkau menjadi fasik setelah beriltizam (komited). Barang siapa melanggarinya, maka akibatnya akan menimpa dirinya, barangsiapa tersesat maka kesesatannya itu akan menimpanya.
“Seseorang tidak akan memikul dosa orang lain. Dan Kami (Allah) tidak akan menurunkan azab kecuali setelah mengutus seorang utusan (Rasul).”
Wahai saudaraku, bila anda mengharuskan diri untuk berpegang dan iltizam (komited) terhadap janji yang diikrarkan tidak kurang 17 kali dalam sehari itu, maka anda telah meniti tangga menuju takwa, anda sudah menyusuri jalan rohani, dan pada akhirnya anda akan sampai ke tempat tujuan, yakni ke darjat para muttaqin (orang yang bertakwa).
Kedua: Muraqabah (Merasakan Kehadiran Allah Subha Nahu wa Taala )
Dasar muraqabah dapat anda temukan dalam surah Asy-Syura, iaitu firman Allah Subha Nahu wa Taala;
“Yang melihat kamu ketika kamu berdiri (untuk solat) dan melihat pula perubahan gerak badanmu di antara orang-orang yang sujud.” [Asy-Syura: 218-219]
Dalam sebuah hadis, ketika nabi SAW ditanya tentang ihsan, baginda menjawab;
“Hendaklah kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, dan jika kamu tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Allah melihat kamu.”
Makna Muraqabah
Muraqabah sebagaimana diisyaratkan oleh al-Quran dan hadis, ialah; Merasakan keagungan Allah Azza Wa Jalla di setiap waktu dan keadaan serta merasakan kehadiran-Nya dikala bersendirian ataupun dikhalayak ramai.
Cara Muraqabah
Sebelum memulai sesuatu pekerjaan dan disaat mengerjakannya, hendaklah seorang Mukmin memeriksa dirinya, apakah setiap gerak dalam melaksanakan amal dan ketaatannya dimaksudkan untuk kepentingan peribadi dan mencari populariti, ataukah kerana dorongan redha Allah Subha Nahu wa Taala dan menghendaki pahala-Nya?
Jika benar-benar kerana redha Allah Subha Nahu wa Taala, maka teruskanlah melaksanakannya walaupun hawa nafsunya tidak setuju dan ingin meninggalkannya. Kemudian teguhkan niat dan tekad untuk melangsungkan ketaatan kepada-Nya dengan keikhlasan sepenuhnya dan semata-mata demi mencari redha Allah Subha Nahu wa Taala.
Itulah hakikat ikhlas. Itulah hakikat kebebasan diri daripada penyakit nifa’ dan riya’. Iman Hasan al-Basri berkata; “Semoga Allah mencurahkan rahmat-Nya kepada seorang hamba yang selalu mempertimbangkan niatnya. Bila semata-mata kerana Allah Subha Nahu wa Taala, maka dilaksanakannya tetapi jika sebaliknya maka ditinggalkannya.”
Bentuk-bentuk Muraqabah
Ada beberapa bentuk muraqabah;
1. Muraqabah dalam melaksanakan ketaatan adalah dengan ikhlas kepada-Nya.
2. Muraqabah dalam kemaksiatan adalah dengan taubat, penyesalan dan meninggalkannya secara total.
3. Muraqabah dalam hal-hal yang mubah (harus) adalah dengan menjaga adab-adab terhadap Allah Subha Nahu wa Taala dan bersyukur di atas segala nikmat-Nya.
4. Muraqabah dalam musibah adalah dengan redha kepada ketentuan Allah Subha Nahu wa Taala serta memohon pertolongan-Nya dengan penuh kesabaran.
Saudaraku, sekiranya anda telah bermuraqabah kepada Allah Subha Nahu wa Taala dengan tingkat muraqabah yang telah dinyatakan, kemudian anda dapat tetap melaksanakannya (konsisten), maka tidak syak lagi bahawa anda telah meniti tangga menuju takwa. Anda sudah menapaki jalan rohani. Dan pada akhirnya anda akan sampai ke darjat para muttaqin yang mulia.
Ketiga: Muhasabah (Introspeksi diri)
Dasarnya terkandung di dalam Al-Quran;
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [Al-Hasyr: 18]
Makna muhasabah sebagaimana diisyaratkan oleh ayat ini ialah; Hendaknya seorang Mukmin menghisab dirinya ketika selesai melakukan amal perbuatan. Apakah tujuan amalnya untuk mendapatkan redha Allah Subha Nahu wa Taala atau apakah amalnya dicemari sifat riya’?
Ketahuilah, seorang Mukmin setiap pagi hendaklah mewajibkan diri untuk memperbaiki niat, melaksanakan ketaatan, memenuhi segala kewajiban, dan membebaskan drii daripada riya’. Demikian juga dipetang hari, semestinya dikhususkan waktu untuk bersendirian dengan dirinya untuk memperhitungkan semua yang telah dilakukan. Apabila yang dilakukannya itu kebaikan, maka hendaklah memanjatkan puji syukur kepada-Nya atas taufik-Nya, seraya memohon keteguhan dan tambahan kebaikan. Apabila yang dilakukan itu bukan kebaikan, maka hendaklah ia bertaubat dan kembali ke jalan yang lurus, seraya menyesal, memohon ampun, berjanji untuk tidak mengulangi serta memohon perlindungan dan husnal khatimah kepada-Nya.
Semoga Allah Subha Nahu wa Taala meredhai Umar al-Faruq r.a. yang berkata;
“Hisablah diri kalian sebelum kalian dihisab, timbanglah diri kalian sebelum kalian ditimbang, dan bersiap-siaplah untuk pertunjukkan yang agung (hari Kiamat). Di hari itu kamu dihadapkan kepada pemeriksaan, tiada yang tersembunyi dari amal kalian barang satu pun.”
Saudaraku, jika saudara telah menghisab diri dalam urusan yang besar maupun yang kecil, dan berusaha keras melakukan khalwat di malam hari dengan Allah Subha Nahu wa Taala untuk melihat apa yang akan dipersembahkan pada hari Kiamat kelak, maka saudara telah melangkah menuju takwa dan menapaki perjalanan rohani bahkah akhirnya saudara akan sampai ke darjat para muttaqin.
Keempat: Mu'aqobah (Menghukum)
Asas bagi mu'aqobah adalah firman Allah Azza Wa Jalla;
"Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, wahai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertakwa." [Al-Baqarah: 178]
Hukuman yang dimaksudkan sebagaimana yang diisyaratkan oleh ayat tersebut adalah; Apabila seorang Mukmin melakukan kesalahan, maka tidak wajar baginya membiarkannya. Sebab membiarkan sesuatu kesalahan berlalu tanpa melakukan apa-apa akan mempermudah terlanggarnya kesalahan-kesalahan yang lain dan akan menjadikan sukar untuk ditinggalkan. Sepatutnya dia memberikan hukuman kepada dirinya dengan hukuman yang mubah (harus) sebagaimana memberikan hukuman atas isteri dan anak-anaknya. Ini adalah agar ia menjadi peringatan bagi dirinya agar tidak menyalahi ikrar, disamping merupakan dorongan untuk lebih bertakwa dan bimbingan menuju hidup yang lebih mulia.
Hukuman ini harus dengan sesuatu yang mubah, tidak boleh dengan sesuatu yang haram, seperti membakar salah satu anggota tubuh, mandi di tempat terbuka pada musim dingin, meninggalkan makan dan minum sampai membahayakan diri dan sebagainya. Hukuman-hukuman ini dan yang sepertinya adalah haram hukumnya sebab termasuk dalam larangan yang tercantum dalam Al-Quran;
"..dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan." [Al-Baqarah: 195]
"..dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu." [An-Nisa: 29]
Generasi salaf yang soleh telah memberikan teladan kepada kita tentang ketakwaan, muhasabah, menjatuhkan hukuman pada diri sendiri jika bersalah dan bertekad untuk lebih taat jika mendapati dirinya lalai atas kewajipan. Berikut ini diutarakan beberapa contoh;
Dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa Umar bin Khattab r.a. pergi ke kebunnya. Ketika pulang didapatinya orang-orang sudah selesai melaksanakan solah Asar. Maka beliau berkata: "Aku pergi hanya untuk sebuah kebun, aku pulang orang-orang sudah solah Asar! Kini kebunku aku jadikan sedekah untuk orang-orang miskin."
Menanggapi masalah ini, al-Laits berkata; "Padahal beliau hanya ketinggalan solah berjemaah!"
Satu ketika, Umar r.a. pernah disibukkan oleh suatu urusan sehingga waktu Maghrib lewat sampai muncul dua bintang. Maka setelah melaksanakan solah Maghrib, beliau memerdekakan dua orang hamba.
Ada baiknya bila setiap Mukmin mengikuti jejak generasi salaf dalam muhasabah diri dan menjatuhkan hukuman apabila dia menemui kelalaian dalam memikul tanggunggjawab atau meninggalkan kewajiban terhadap Allah Subha Nahu Wa Ta'ala dan sesama manusia. Misalnya dengan menginfakkan sejumlah wang tatkala meninggalkan solah berjemaah, ataupun dengan mengerjakan beberapa rakaat solah sunat.
Jika seorang Mukmin sudah biasa menjatuhkan hukuman kepada dirinya ketika melakukan kesalahan, maka dia telah melangkah menuju takwa, dan telah menapaki jalan ketinggian rohani, dan dengan pasti dia akan sampai ke darjat orang-orang yang bertakwa.
Kelima: Mujahadah (Melawan Dorongan Nafsu)1
Dasar mujahadah adalah firman Allah Subha Nahu Wa Ta'ala di dalam Al-Quran:
"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik." [Al-Ankabut: 69]
Makna mujahadah sebagaimana disyariatkan oleh ayat tersebut adalah: Apabila seorang Mukmin terseret dalam kemalasan, santai, cinta dunia dan tidak lagi melaksanakan amal-amal sunnah serta ketaatan yang lainnya tepat pada waktunya, maka ia harus memaksa dirinya melakukan amal-amal sunat lebih banyak daripada sebelumnya. Dalam hal ini, harus tegas, serius dan penuh semangat sehingga pada akhirnya ketaatan merupakan kebiasaan yang mulia bagi dirinya dan menjadi sikap yang melekat pada dirinya.
Dalam hal ini, cukuplah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjadi qudwah (contoh ikutan) yang patut diteladani sebagaimana diriwayatkan oleh Aisyah r.a.:
"Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melakukan solah malam hingga kedua tumitnya bengkak. Ketika Aisyah r.a. bertanya: "Mengapa engkau lakukan hal itu? Bukankah Allah sudah mengampuni dosamu yang sudah lalu dan yang akan datang? Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab: "Bukankah seharusnya aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?" [Riwayat Bukhari dan Muslim]
Dalam riwayat Bukhari dan Muslim, Aisyah r.a. berkata;
"Apabila Raslulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memasuki sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan, beliau menghidupkan malam (dengan ibadah), membangunkan keluarganya, bersungguh-sungguh dan mengetatkan ikat pinggangnya."
Dalam beberapa hadis, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menyuruh dan menyokong perlaksanaan mujahadah dalam amal ibadah. Oleh itu, hendaklah kita semua menjadi orang pertama yang bergegas menyambut dan melaksanakan perintah tersebut.
Imam Bukhari meriwayatkan;
"Dari Abu Hurairah bahawa beliau berkata; Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda; "Sesungguhnya Allah berfirman; "Tidaklah seorang hamba-Ku mendekat kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku sukai selain daripada amalan-amalan wajib dan seorang hamba-Ku senantiasa mendekat kepada-Ku dengan melakukan amalan-amalan sunat, sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku telah mencintainya, maka Aku-lah yang menjadi pendengarannya, dan sebagai tangan yang digunakannya untuk memegang dan kaki yang dia pakai untuk berjalan, dan apabila ia memohon kepada-Ku pasti Aku kabulkan, dan jika meminta perlindungan kepada-Ku, pasti Aku lindungi."
Jika anda - wahai saudaraku - sudah berusaha melakukan mujahadah, mencontohi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan mengikuti jejak generasi para salaf, maka saya yakin anda telah melangkah menuju takwa, menapaki perjalanan rohani dan akan sampai ke darjat para muttaqin.
Kesimpulannya - wahai saudaraku - itulah beberapa cara untuk menumbuh suburkan takwa dalam hati dan ruh setiap Mukmin serta menyatukannya dengan perasaannya.
Dengan mu'ahadah anda dapat beristiqamah di atas syariat Allah dan dengan muraqabah, anda dapat merasakan keagungan Allah baik di kala bersendirian maupun di khalayak ramai.
Dengan muhasabah anda dapat bebas daripada tarikan hawa nafsu yang selalu memberontak, dan dapat memenuhi hak-hak Allah dan hak-hak sesama manusia. Dengan mua'qabah anda dapat menyelamatkan diri anda daripada penyimpangan.
Dengan mujahadah anda dapat memperbaiki aktiviti anda dan sekaligus menundukkan sifat malas dan lalai. Dengan cara tersebut, takwa akan menjadi sebati dan mendarah daging (malakah) dengan diri anda dan akan menjadi akhlak anda yang sebenarnya.
Bahkan anda akan sampai ke puncak kemuliaan dan keutamaan, anda akan sampai ke darjat yang paling tinggi. Anda akan mampu memberi suri teladan kepada orang lain dalam ucapan, perbuatan dan kemantapan rohani.
1 Imam Ibnu Qayyim ketika memperkatakan tentang tahap-tahap jihad, memulakannya dengan jihad melawan nafsu untuk mempelajari kebenaran, kemudian jihad beramal dengan kebenaran , kemudian jihad untuk bersabar di atas bebanan amal tersebut.



Rujukan: Tarbiah Ruhiah, Petunjuk Praktikal Mencapai Darjat Takwa, Dr. Abdullah Nasih Ulwan