Monday, February 23, 2009

Tanda Hati Masih Hidup


Apabila usia Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam mencapai empat puluh tahun, Baginda begitu gemar mengasingkan diri untuk beribadat dan berkhulwah di Gua Hira'. Selalunya amalan ini memakan masa beberapa hari dan malam dan kadang-kadang melewati satu bulan. Beginilah keadaan Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam yang berulang alik di antara rumah baginda dan Gua Hira' sehinggalah datangnya wahyu yang pertama.

Sesungguhnya kegemaran Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam mengasingkan diri dan beruzlah di Gua Hira' sebelum pengutusan baginda sebagai seorang Rasul, mengandungi makna yang sangat mendalam dan memberi implikasi yang begitu penting kepada seluruh penghidupan umat Islam dan agama Islam khususnya.

Amalan ini membuktikan bahawa setiap Muslim itu, tidak akan sempurna sifat keIslamannya, walaupun ia berkeperibadian atau berakhlak yang tinggi serta peribadatan yang tidak putus-putus terhadap Allah tanpa ia cuba mengasingkan dirinya untuk menilai dan mecari ketenangan jiwa dan segala sesuatu yang membolehkan ia sampai kepada hakikat keagungan ilahi.

Semuanya ini merupakan jalan bagi setiap Muslim yang mahu menempatkan dirinya sebagai seorang Muslim sejati terutamnya kepada mereka yang mahu menjadi pendakwah ke jalan Allah dan pembimbing ke jalan yang benar.

Sebagai hikmah Ilahi di sini tergambar sesungguhnya diri manusia itu senantiasa diselaputi oleh pelbagai penyakit yang tidak akan dapat diubati kecuali dengan jalan mengasingkan diri, memperhitungkan dan menghisab diri sendiri di ketika dan di tempat-tempat yang sunyi, jauh dari suasana dunia yang sombong, bongkak, hasan-dengki, bermegah-megah dan sukakan keduniaan.
Segalanya ini merupakan penyakit-penyakit yang mencengkam jiwa manusia dan menguasai hati sanubarinya, yang memainkan peranan yang sangat kotor demi merubah jiwa batin manusia, walaupun amalan saleh dan ibadat yang banyak.

Inilah penyakit dan wabak yang mencengkam mausia tadi dan ia tidak mudah dibasmikan kecuali dengan beruzlah dan mengasingkan diri dengan bertaqarrub dengan Allah Subha Nahu Wa Ta'ala dari masa ke semasa untuk mendapat taufiq hidayah dan inayah Allah. Kemudian mengalihkan pandangan ke arah dirinya untuk mencari titik-titik kelemahannya di hadapan Allah Subha Nahu Wa Ta'ala pencipta alam sejagat seterusnya bertafakkur dan merenung bukti-bukti kekuasaan Ilahi, Hari Akhirat dan akhirnya menginsafi tentang kewujudan hari Akhirat, rahmat dan balasannya. Ketika kita bertafakkur dan merenung berulang-ulang kali maka penyakit-penyakit tadi akan sembuh dan hilang sedikit demi sedikit dan tempatnya akan digantikan dengan cahaya dan ketenangan yang abadi. Dengan itu tidak ada sesuatu apa pun lagi yang akan mempengaruhi kehidupan manusia itu.

Suatu perkara lagi yang perlu disebut yang tidak kurang pentingnya di dalam penghidupan manusia umumnya dan para pendakwah khususnya ialah menanamkan bibit-bibit cintakan Allah Subha Nahu Wa Ta'ala di dalam hati sanubari di mana ia merupakan sumber dan dorongan kepada pengorbanan, perjuangan dan asas utama kepada dakwah yang memarak. Perasaan cintakan Allah Azzawajalla tidak tercetus melalui kepercayaan kepada yang rasional lantaran perkara yang rasional itu belum lagi dapat memberikan kesan kepada hati dan perasaan. Sebab jika sedemikian, sudah tentulah para orientalis merupakan barisan yang pertama beriman kepada Allah Subha Nahu Wa Ta'ala dan RasulNya. Tidak pernah kita dengar seorang alim bijak pandai telah mengorbankan jiwanya kerana beriman dengan sesuatu teori-teori matematik yang dicipta manusia atau teori-teori algebra.

Bahawasanya tidak ada jalan lain untuk cintakan Allah Subha Nahu Wa Ta'ala melainkan dengan cara merenung dan bertafakkur dengan segala nikmat pemberiannya, merenung keagunganNya dan kebesaranNya. Kemudian memperbanyakkan bacaan-bacaan zikir dengan perantaraan hati dan lidah. Sesungguhnya kesemuanya ini tidak dapat dilaksanakan melainkan apabila seseorang Muslim itu melaksanakan apa yang disebutkan tadi dengan sempurnanya. Dengan melaksanakan amalan yang disebutkan, Allah akan memutikkan bibit-bibit kecintaan yang berkilau terhadap Allah yang menjadikannya memandang kecil segalanya; tidak menghiraukan sebarang godaan; tidak memperdulikan sebarang azab sengsara yang mungkin dihadapinya malah ia mampu mengatasi segala-galanya ini dengan mudah dan senang. Inilah senjata yang paling tajam untuk mereka yang akan melaksanakan tugas dakwah dan demikianlah senjata yang telah diperlengkapkan di dalam jiwa Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam untuk baginda melaksanakan dakwahnya.

Bahawa sesungguhnya segala perasaan yang berhimpun di dalam hati manusia, iaitu takut, berani, cinta, suka, duka dan sebagainya berupaya menjadi sebagai pendorong bagi seseorang untuk menjalankan tugas yang mungkin dapat dilaksanakan sekiranya hanya disertai dorongan daya fikiran biasa manusia. Memang tepat seperti yang ditegaskan oleh Imam al-Sathibi Rahmatullah 'alaihi di dalam kitabnyha Al-Mumabikhat yang menerangkan lebih lanjut dan membuat perbandingan di antara dua golongan; satunya Muslimin awam di dalam melakukan segala taklif suruhan Tuhannya kerana keIslamannya dan yang satu lagi golongan Muslimin yang tertentu di dalam melakukan takallif suruhan Tuhannya kerana satu dorongan yang lebih dan disertai dengan kefahaman.

Katanya; golongan yang pertama ini melaksanakan tugasnya kerana keIslaman dan keimanannya tanpa lebih daripada itu, tetapi golongan yang kedua, melaksanakan segala tanggungjawabnya dengan satu dorongan tambahan, iaitu dengan disertai dorongan takut, harap dan cinta. Orang yang ketakutan, ketika melakukan sesuatu yang berat dan susah, tidak menghiraukan kesusahan dan kepayahan dan seterusnya membawa ia bersabar terhadap sebarang dugaan dan pancaroba. Manakala manusia yang berharap-harap tidak akan mnghiraukan susah payah. Harapannya itu akan membawa ia meneroka segala kepahitan dan menanggung segala keperitan. Seorang yang dilanda cinta pula, melipat gandakan segala usaha dan tenaganya dan mengorbankan segala apa yang ada demi untuk sampai kepada orang yang dicintainya

Rujukan: Fiqh as-Seerah Jilid 1, Muhammad Sa'id Ramadan Al-Buti

Sampai jam 3lebih pagi tadi....saya menolak beg beroda keluar dari bas...
Mengangkat beg ke tingkat 5...Our apartment, no lift...
Keluarkan barang2 yang patut...

No comments:

Post a Comment