Sunday, February 22, 2009

Memahami Islam Melalui Sirah Nabi


Tujuan mengkaji riwayat hidup Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam dan penganalisaannya bukanlah semata-mata untuk melihat kejadian-kejadian dan episod-episod yang bersejarah ataupun memaparkan cerita-cerita yang indah sahaja. Oleh yang demikian tidak seharusnya kita menganggap kajian sejarah hidup Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam ini sama dengan membaca dan menelaah sejarah para tokoh yang lampau.

Tujuan pokok daripada kajian yang dimaksudkan ialah supaya setiap Muslim dapat memahami, menganggap dan menggambarkan bahawa hakikat zahir dan batin (de fakto) Islam semuanya teradun di dalam kehidupan Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam itu sendiri. Gambaran dan anggapan ini akan timbul dan wujud setelah seseorang Muslim itu dapat memahami dengan benar segala hikmah dan keistimewaan prinsip-prinsip dan dasar-dasar Islam satu persatu.

Tegasnya, kajian riwayat hidup Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam ini adalah suatu usaha mengumpul hakikat dan intisari dasar-dasar Islam, kemudiannya memadan dan menyesuaikan dengan contoh Islam iaitu Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam.

Sekiranya perlu kita bahagikan tujuan-tujuan ini, maka bolehlah dibahagikan seperti berikut;

1. Memahami peribadi Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam menerusi penghidupan dan suasana hidup baginda sendiri. Kesimpulannya, Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam itu bukan sebagai manusia pintar tetapi baginda adalah pesuruh Allah Subha Nahu Wa Ta'ala yang menerima wahyu dan taufik daripadaNya.
2. Supaya manusia seluruhnya dapat meniru dan mengikut suatu contoh yang unggul dalam segenap lapangan hidup yang harmoni, untuk dijadikan sebagai dasar-dasar hidupnya. Andaikata manusia ingin mencari suatu contoh terbaik yang bersifat universal, mereka akan dapat semuanya di dalam kehidupan Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam, maka tidak hairanlah mengapa Allah Subha Nahu Wa Ta'ala menjadikan Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam sebagai contoh kepada umat manusia. Untuk demikian maka Allah telahpun menegaskan di dalam kitab suciNya yang bermaksud;
"Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah itu terdapat contoh yang paling baik untuk (menjadi ikutan) kamu." (Al-Ahzab:21)

3. Semoga kupasan tentang kehidupan Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam boleh menolong manusia memahami dan mengecapi isi kandungan Al-Quran lantaran banyaknya ayat-ayat yang dihurai dan ditafsirkan oleh kejadian dan peristiwa-peristiwa sejarah hidup Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam.
4. Agar setiap Muslim dapat mengumpulkan sebanyak mungkin perbendaharaan kebudayaan dan pengetahuan Islam yang sebenar samada pengetahuan bersangkutan dengan 'aqidah kepercayaan, hukum hakam atau tatasusila. Lebih tegas lagi penghidupan Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam adalah satu gambaran dengan dimensinya yang jelas bagi prinsip-prinsip dan hukum-hukum Islam.
5. Membolehkan para pendidik serta penda'wah Islam mencontohi dan mengajar, mengikut sistem pendidikan dan pengajaran yang sihat kerana Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam sendiri adalah sebagai pendidik, penasihat, guru dan penunjuk yang utama, tidak pernah membuang masa begitu sahaja malah sentiasa mencari dan menyiasat jalan-jalan dan sistem-sistem pengajaran yang terbaik dalam berdakwah.

Antara faktor yang menjadikan sejarah Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam ini mampu dan berupaya memenuhi matlamat-matlamat yang di atas ialah kerana sejarahnya lengkap dan meliputi segenap bidang kehidupan samada dari segi kemanusiaan mahupun kemasyarakatan; samada ianya sebagai seorang individu yang bebas atau sebagai seorang anggota masyarakat yang cergas

Sejarah Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam menghidangkan kepada kita sejambak contoh utama bagi seorang pemuda yang waras, pribadinya dipercayai orang di kalangan keluarga dan sahabat; seorang manusia yang menyeru manusia ke jalan Allah secara lemah-lembut dan bersopan-santun; seorang pejuang yang mengorbankan sepenuh usaha dan tenaga demi menyampaikan seruan Allah; seorang ketua negara yang mendayung bahtera pemerintahan dengan cekap dan pintar; seorang suami yang halus pergaulannya; seorang bapa yang teliti dan bijak menyempurnakan kewajipan terhadap anak dan isteri; seorang ketua turus agung peperangan yang cergas, penuh dengan teknik stategi persediaannya dan seorang Muslim yang waras lagi bijak membahagikan dedikasinya kepada Allah, keluarga dan sahabat handai (RadiyaLlahu 'anhum ajma'in).

Tidak syak lagi, bahawa mempelajari sejarah hidup Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam menyamai memahami semua sudut kemanusiaan.

Rujukan: Fiqh as-Seerah Jilid 1,
Muhammad Sa'id Ramadan Al-Buti

Tetiba saja kami mendapat arahan dari pihakl Hepa supaya balik ke kampus kami...
Dengan perasaan berbelah bagi kami akur

No comments:

Post a Comment