Sunday, May 3, 2009

Tetaplah bersama Islam,Duhai Sahabat!!

Saudaraku sekalian, percayalah padaku bahawa setiap kali kita berfikir tentang nikmat agung ini, iaitu nikmat iman kepada-Nya dan kecintaan kerana-Nya, maka kita akan semakin mengerti akan kelemahan kita dalam melaksanakan kesyukuran serta kekurangan kita dalam memahami nikmat ini. Kita mengakui kelemahan ini sambil memohon kepada-Nya agar tetap menerima syukur kita, meskipun dengan berbagai kekurangan itu. Maha suci Allah, kita tidak berupaya menghitung pujian untuk-Nya sebagaimana pujian-Nya sendiri bagi diri-Nya.

Sebenarnya, di dunia ini tidak ada nikmat yang lebih sempurna dan lebih agung daripada nikmat iman. Ia merupakan setinggi-tinggi nikmat. Alangkah banyaknya nikmat yang dikurniakan-Nya kepada hamba-hamba-Nya. "Dan jika kalian menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kalian tidak dapat menentukan jumlahnya." [An-Nahl:18]. Nikmat agama adalah nikmat yang tidak dapat disetarakan dengan nikmat apa pun. "Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kalian deen kalian, dan telah Aku cukupkan kepada kalian nikmat-Ku dan telah Aku redhai Islam itu sebagai deen kalian." [Al-Maidah:3]

Di dunia ini, tidak ada ikatan yang lebih kuat daripada ikatan Islam yang menjalin pengikut-pengikutnya. Sekalipun rumah-rumah kaum Muslimin berjauhan, jarak yang jauh memisahkan mereka, akan tetapi mereka masih disatukan oleh kalimat "La Ilaha Illallah Muhammadur Rasulullah."

Itulah aqidah yang telah menyatukan hati dan jiwa mereka. Jika tidak, apakah yang mendorong kalian untuk datang ke sebuah pertemuan yang di dalamnya tidak terdapat manfaat material, kecuali kenikmatan ruhani yang kita rasakan dan kita nikmati kelazatannya ketika kita melalui saat-saat perbicaraan tentang Islam dan tentang keindahan-keindahan Islam, sehingga kalian merasakan adanya pengaruh yang dalam, yang tidak mungkin muncul kecuali berkat limpahan karunia Allah Subha Nahu Wa Taala.

Amma ba'du. Pada kajian yang telah lalu, telah disampaikan bahawa Allah Subha Nahu Wa Taala mengemukakan risalah kepada manusia secara global, kemudian menjelaskan sikap manusia terhadapnya. Di antara mereka ada yang beriman, ada orang-orang kafir, dan ada pula orang-orang yang munafik. Dia juga menjelaskan sifat-sifat yang dimiliki oleh masing-masing daripada mereka.

Setelah pengklasifikasian ini, Allah Subha Nahu Wa Taala hendak mengemukakan risalah tersebut kepada manusia dengan lebih terperinci. Kerana itu Allah Yang Maha Luhur berfirman, "Hai manusia, beribadahlah kepada Tuhan kalian yang telah menciptakan kalian dan orang-orang sebelum kalian agar kalian bertaqwa.." [Al-Baqarah: 21-25]

Ayat-ayat ini mengupas tentang unsur-unsur risalah Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, yang meliputi empat unsur: tauhid, nubuwah, tentangan kepada Al-Quran dan pembalasan.

Dalam ayat-ayat ini terdapat ungkapan-ungkapan yang tepat. Perhatikan, wahai saudaraku, bagaimana Allah Subha Nahu Wa Taala berfirman dengan kalimat, "Wahai manusia", bukannya "Wahai orang-orang yang beriman", "Wahai orang-orang Arab", atau "Wahai orang-orang Parsi".

Ini menunjukkan isyarat mengenai kesejagatan risalah dan bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam diutus untuk seluruh umat manusia sejak zaman beliau diutus sehingga hari kiamat. Kerana itu, ayat-ayat Al-Quran datang menjelaskan hakikat ini. "Maha suci Allah yang telah menurunkan Al-Furqan (Al-Quran) kepada hamba-Nya, agar ia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam." [Al-Furqan:1] "Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam." [Al-Anbiya':107]

Mukjizat Al-Quran terbukti setelah terjadinya peperangan-peperangan panjang serta membuktikan bahawa seluruh dunia ini memerlukan satu peraturan dan tatanan, serta sebuah kesatuan yang utuh. Dunia sudah semakin sempit, sehinggakan tempat yang paling jauh boleh dicapai dalam tempoh satu hari, tanpa malam. Sarana pengangkutan semakin canggih sehingga seseorang boleh bersarapan di Kairo, lantas makan tengahari di Iraq, makan malam di India dan bermalam di Jepun. Radio, kapal terbang dan alat komunikasi serta pengangkutan lainnya telah mendekatkan jarak. Satu kesatuan sosial dan kesatuan ekonomi yang akan membawa umat manusia kepada kesatuan politik, hampir-hampir terwujud setiap hari dan di setiap kota ada muktamar. Yang masih belum terwujud ialah kesatuan aqidah yang merupakan landasan bagi seluruh persatuan. Dan inilah tugas Islam. "Wahai manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kalian yang telah menciptakan kalian daripada seorang diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya." [An-Nisa:1]

Perhatikan bagaimana Islam telah mendahului pemikiran manusia dengan dakwahnya yang abadi, lantas menyarankannya kepada manusia secara percuma.

Barangkali ada orang yang mengatakan, Bagaimana mungkin Islam dapat menyatukan manusia pada zaman sekarang yang berbeza persekitaran, generasi dan masa?

Kita jawab bahawa Islam adalah ciptaan Allah Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana, yang mengetahui segala kejadian pada masa lalu, sekarang, dan yang akan datang. Kerana itu, ia datang membawa segala hal yang diperlukan oleh umat manusia pada setiap waktu dan zaman. Sifat Islam adalah kekal dan abadi. Maka Islam memegang teguh pokok daripada prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah yang tidak berubah, seraya membiarkan manusia mengurus perincian-perincian dan penjelasan tentang hal-hal yang bersifat cabang. Biarlah mereka mengaturnya sesuai dengan tuntutan zaman dan keperluan manusia. Kerana itu Umar bin Abdul Aziz berkata;

"Hukum diputuskan di tengah masyarakat seiring dengan perilaku mereka."

Imam Syafie ra. mempunyai fatwa-fatwa ketika di Iraq dan fatwa-fatwa ketika di Mesir. Beliau mempunyai dua mazhab, iaitu mazhab lama (qaul qadim) dan mazhab baru (qaul jadid).

Persekitaran dan suasana boleh berubah, tetapi agama tetap satu, tidak berubah, kerana ia kekal di setiap zaman. "Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa Al-Quran adalah benar."
[Fushilat:53]

No comments:

Post a Comment