Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya(As-Saff:3)
Saya suka untuk berkongsi cerita ini bersama-sama sahabat walau tahu ianya telah agak lama diterbitkan kerana rasa terkesan dengan cerita ini. Pelbagai pengajaran boleh kita dapat daripada cerita Kahfi ini, selain suka dengan usaha murni penerbit untuk mengajak kepada amar ma'ruf nahi mungkar. Saya juga kongsikan sedikit sebanyak apa yang telah saya dapat daripada drama ini, harapnya sahabat ili yang lain juga boleh bersama-sama kongsi dalam ruangan komen.
1. Jangan pernah menilai kesalahan dan dosa yang telah dilakukan manusia lain. Sebagai seorang hamba yang bersyukur salah satu cara untuk menzahirkan kesyukuran itu adalah dengan membantu sahabat yang 'jauh' dengan berkongsi nikmat yang dikurniakan kepada kita. Bukannya hanya simpan hidayahNYA dan duduk diam melihat saudara seagama terus lalai dan leka. Tiada siapa yang ingin terus bergelumang dengan dosa. Namun kadangkala syaitan yang menggoda dan menghanyutkan hamba-hambaNYA. Fahamilah dan bantulah saudara kita di luar sana walau apa jua caranya.
'Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.' (Al-Imran:104)
2. Melihat kepada pengorbanan pasangan ini membuatkan saya berasa malu dengan diri sendiri. Tidak pernah saya kekurangan wang kerana usaha dakwah ini sehingga membuatkan saya terpaksa berpuasa sebagaimana kekasih kita, Nabi Muhammad saw. Besarnya pengorbanan seorang Nabi yang amat menyayangi umatnya hingga ke akhir hayat baginda memanggil-manggil dan merisaukan kita. Marilah kita sama-sama cuba untuk berkorban walau sedikit,walau hanya setitis peluh demi agamaNYA sebagaimana mereka yang terdahulu.
'Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.' (At-Taubah:111)
3. Tiada manusia yang dapat lari daripada dosa. Jalan-jalan kebaikan dan pintu taubat sentiasa terbuka. Kembalilah kepadaNYA bilamana diri rasa hilang arah dan punca. Sebagaimana pemuda kahfi melarikan diri ke gua setelah tidak mampu berdepan dengan Raja yang zalim itu, begitulah juga kita. Bila kita telah tersedar bahawa tiada cahaya lagi dalam hidup ini dan terasa jauh dariNYA, carilah 'gua' yakni tempat berlindung untuk menjauhkan diri dari segala maksiat yang telah dilakukan. Beruzlah lah (menyendiri) dan berusahalah untuk mencari kembali sinarNYA.
'Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya.'(Al-Baqarah:257)
Wallahu'alam
No comments:
Post a Comment