Friday, June 19, 2009

kata2 dari ummi Ammar

Umi rasa terpanggil ingin berbicara dalam blog anakanda tersayang Allahyarham Muhammad `Ammar bin Zulkifli ini dengan rasa ragu-ragu dan was-was untuk menceroboh blog ini kerana kemampuan menulis umi ini tidak sama dengan kebolehan anakanda tersayang.

Umi rasa mahu berbicara dalam blog ini kerana ingin berkongsi rasa dengan semua sahabat-sahabat dan kawan-kawan serta sesiapa sahaja yang mengenali beliau. Allah izin umi telah ditarik nikmat tidur yang dirasai selama ini maka cemburu rasanya pada semua orang sekeliling yang nyenyak tidur dibuai mimpi.

Tidak mengapa umi dan pakcik serta keluarga redha dengan pemergian ini kerana kami yakin terhadap firman Allah SWT bermaksud:

“Iaitu orang-orang yang apabila di timpa musibah mereka mengucapkan: “ Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan dan kepadaNya-lah kami kembali. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat Tuhannya, dan meraka ialah orang-orang yang mendapat petunjuk.”

(Al-Baqarah: 156 – 157)

Firman Allah SWT bermaksud:

“Tidak ada suatu musibahpun yang menimpa diri seseorang kecuali dengan izin Allah, barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”

(At-Taghabun:11)

Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasullulah saw bersabda: "Allah Taala berfirman:

"Tidak ada balasan bagi seseorang hambaKu yang mukmin disisiKu, di waktu Aku mengambil - mematikan - kekasihnya dari ahli dunia, kemudian ia mengharapkan keredhaan Allah, melainkan orang itu akan mendapat syurga."

(Riwayat Bukhari)

Ya, Allah berilah kami pahala dari musibah ini, dan berilah kami ganti yang lebih baik dari musibah ini, melainkan Allah akan mengkabulkan doanya, inilah sumber kekuatan kami sekeluarga.

Kekuatan umi datang setelah ketibaan jenazah anakanda, umi tidak rasa untuk menanggis teresak-esak cuma-cuma kadang-kadang tertitis mutiara-mutiara jernih diatas pipi tapi umi mampu bercakap walaupun penantian cukup lama iaitu selama 3 hari menunggu barulah kunjung tiba dan jenazah anakanda tersayang yang singgah hanya sebentar sahaja dirumah iaitu tidak lebih dari 1 jam. Umi yakin ini kurniaan Allah kerana doa dan sokongan kaum keluarga, sahabat handai, jiran tetangga, sahabat-sahabat Arwah dari jauh dan dekat yang telepon dan sms. Cerita lanjut bolehlah lihat di sini.

Pengalaman ini telah menjadi sumber kekuatan kepada adik-beradiknya supaya lebih peka, menjaga ukhuwah antara keluarga, rasa tanggungjawab untuk meneruskan dan melalui proses tarbiyah seperti yang abang mereka lalui dan mereka yakin beliau merupakan tokoh kelurga serta menjadi qudwah kepada kami semua. Pesanan-pesanan beliau kepada adik-adiknya telah menjadi sumber aspirasi dalam menjalani hidup ini seperti berikut:

· Dengar cakap abah dan umi.

· Baca quran selalu.

· Baca mathurat.

· Solat dhuha.

· Belajar rajin-rajin

· Berdoa

· Untuk adik perempuan: jaga aurat dengan terbaik.


Walaupun sudah 5 hari pemergiannya rumah umi sekeluarga masih dikunjungi oleh jiran tetangga, kaum keluarga dan sahabat handai dan rasa ukhuwah yang terjaling dengan berlakunya peristiwa ini.

Dengan izin Allah jenazah anakanda tersayang sampai diiringi oleh seorang bonda angkatnya iaitu Ustazah Fatahyah, beliau merupakan pensyarah INTEC , UiTM Shah Alam yang juga mentor arwah. Umi kenal ustazah ini hanya namanya sebelum ini kerana satu sms yang diterima 3 tahun lepas sebelum anakanda bertolak ke Mesir yang mana arwah telah menunjukan kepada umi isi kandungan sms yang dihantar oleh ustazah. Umi mengingatkan kembali kepada ustazah tentang sms itu maka beliau berhajat supaya kandungan sms ini dimuatkan dalam blog ini yang berbunyi lebih kurang seperti berikut;


“ Sejuk perut ibu dan ayah Ammar kerana melahirkan anak yang soleh”.


Ustazah dan umi telah pergi ke masjid dan Allah izin hanya dapat berada diluar dan melihat dari jauh lalu mendapati ramai sungguh jemaah yang hadir. Solat subuh hari itu diimani oleh Ustaz Ammar Rosidi yang memang dikenali bacaan qurannya amat sayu dan menyentuh hati jemaah apabila mendengarnya.

Selepas habis doa solat jenazah kami terus ke kawasan perkuburan dan ramai sungguh kaum keluarga , sahabat handai, ibu-ibu, kakak-kakak dan guru-guru MATRI dari jauh dan dekat hadir semasa pengkebumian. Tazkirah ringkas juga telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Rahim.

Alhamdullilah dengan rasa bersyukur kepada Allah taala kerana memberi ketabahan kepada umi untuk menghadapinya semua ini walau pun sebenarnya dalam hati kecil ini rasa kehilangan dan amat rindu kepadanya yang teramat sangat kerana tiada lagi sms daripada Ammar berada dalam peti masuk telepon umi.


“Ya Allah perkuatkan hati ini dalam menghadapi hari-hari mendatang dan tinggkatkan iman kami sekeluarga agar dapat mendidik adik-beradiknya agar dapat menjadi anak soleh sepertinya”.

“Ya Allah bagiMu jua segala pujian, Dikaulah cahaya langit dan bumi dan segala isinya. Dan bagiMu jua segala pujian, Engkau pencipta langit dan bumi dan segala isinya. Dan bagiMu segala pujian, Engkau Tuhan yang hak (benar), dan janjiMu itu adalah benar, dan berjumpa denganMu kelak adalah benar, kata-kataMu itu benar, syurgaMu itu benar, nerakaMu itu benar, hari kiamat itu benar, Nabi-nabiMu adalah benar dan Nabi Muhammad saw adalah benar.

Ya Allah kepadaMu aku berserah dan kepadaMu aku beriman dan ke atasMu aku bertawakal (berserah) dan ketempatMu aku akan kembali, Engkaulah yang aku rindu dan kepadaMulah aku berhukum, maka ampunilah dosa-dosaku yang telah lalu dan akan datang, dosa yang aku sembunyikan dan yang aku dedahkan dan Dikaulah yang lebih mengetahui mengenai diriku, Dikaulah yang terdahulu dan yang kemudian, tiada tuhan melainkan Engkau dan tidak daya dan kekuatan melainkan daripadaMu ya Allah.

Ameen


Bolehlah layari ke blog ini tentang kisah beliau semasa kecil - mizjana.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment