Friday, January 8, 2010

Alhamdulillah! Bantuan akhirnya berjaya dibawa masuk ke Gaza

January 7, 2010

Sorakan beserta airmata kegembiraan! Alhamdulillah, rombongan membawa bantuan ke Gaza akhirnya berjaya melepasi pintu masuk Rafah. Ribuan rakyat Gaza yang dikepung sejak Jun 2007 lalu keluar ke jalanan menyambut ketibaan bantuan dengan mengibar bendera dan memberi hadiah jambangan bunga.

Kerajaan Mesir akhirnya membenarkan bantuan dibawa masuk setelah berlaku pertempuran antara relawan dan pasukan polis Mesir, di mana 55 orang relawan dan sebilangan anggota polis tercedera. Kira-kira 60 orang relawan juga telah ditahan oleh pihak berkuasa Mesir.

HALUAN Palestin turut berjaya membawa barangan bantuan berupa selimut untuk musim sejuk dan makanan yang telah dihantar dari Kuala Lumpur sejak pertengahan Disember lalu. Barangan tersebut merupakan sebahagian daripada hasil sumbangan masyarakat dan pertubuhan prihatin Malaysia, termasuk Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI.) Sebahagian lain lagi dihantar ke kem-kem pelarian Palestin di Syria.

Bagi rombongan Viva Palestina pula, perjalanan mereka sejauh ribuan batu selama sebulan, melalui 10 buah negara… merupakan satu usaha yang amat berharga apabila melihat bantuan yang mereka bawa akhirnya sampai ke bumi Gaza. “Kami begitu terharu melihat mereka keluar menyambut kami! Rombongan Viva Palestina adalah suatu yang simbolik. Ia membuktikan kepada rakyat Gaza betapa kami dari Barat prihatin terhadap mereka,” kata pemimpin rombongan Viva Palestina, Kevin Ovenden.

Bagaimanapun, 59 buah kenderaan tidak dibenarkan masuk. Menurut George Galloway yang menyertai rombongan tersebut, kenderaan tersebut beserta barangannya diarahkan supaya diserah kepada pihak Israel untuk disampaikan ke Gaza — suatu perkara yang mustahil. Justeru para relawan bertindak memunggah sebahagian barangan ke kenderaan lain untuk dibawa masuk ke Gaza. Sebahagian lain akan dibawa ke kem-kem Pelarian Palestin di Lubnan dan Syria. Antara bantuan yang disalurkan termasuklah makanan, peralatan sekolah dan ambulan yang lengkap dengan kemudahan perubatan dan juga pergigian.

HALUAN Palestin mengajak masyarakat agar terus memperjuangkan kebebasan bumi Palestin – yang merupakan bumi wakaf bagi setiap orang Islam, dan menolak usaha pengganas Zionis Israel dan sekutunya daripada terus memperkosa hak kemanusiaan rakyat Palestin. Antara perkara yang mendesak adalah berusaha menghalang Kerajaan Mesir daripada meneruskan perancangan mereka membina tembok besi di sempadan Gaza. Tembok tersebut bakal menutup satu-satunya jalan ke dunia luar bagi rakyat Gaza, kerana Pintu Rafah sentiasa ditutup oleh pihak berkuasa Mesir.-source haluan palestin.

Galloway:Mesir Khianati Kami...

Ahli Parlimen British dan ketua konvoi ‘Pembuluh Kehidupan 3, George Galloway menegaskan bahawa konvoinya yang menempuh perjalanan selama 31 hari disambut dengan penuh kegembiraan oleh penduduk Gaza “…kerana melihat kami sanggup mengorbankan darah semata-mata kerana mereka.”

Dalam rancangan ‘Tanpa Sempadan’ yang disiarkan oleh saluran TV kabel al-Jazeerah pada petang Rabu (6/1/2010), beliau hairan dengan tindakan yang diambil pihak Mesir sehingga menyebabkan beberapa anggota konvoinya terpaksa mendapatkan rawatan di hospital kerana ada di antara mereka mengalami patah tulang dan cedera parah. Mereka mengalaminya hanya kerana matlamat mereka untuk menghantar ubat-ubatan dan makanan kepada rakyat Gaza yang terkepung.

sumber : http://www.palestine-info.info/ar/

Nota Kaki: Alhamdulillah, abang masih call seperti biasa..tapi kali ni dia kata suka tinggal di Gaza..rasa tak nak balik..


No comments:

Post a Comment