Sunday, May 3, 2009

Langkah Pertama Seorang Muslim

Bagaimanakah kita hendak menjadi seorang Muslim yang sebenar? Ini memerlukan satu penelitian yang cermat dan butir-butir yang terang.

Sekarang mari kita tumpukan pemikiran kita untuk memahami apakah erti perkataan ‘Muslim’ itu. Adakah manusia menjadi Islam kerana ia dilahirkan dalam Islam? Adakah Muslim itu nama bagi sesuatu bangsa? Adakah seseorang itu menjadi Muslim dengan sebab ia adalah anak atau cucu bagi seorang Muslim? Adakah seseorang itu diperanakkan sebagai Muslim sebagaimana seorang anak Brahmin diperanakkan sebagai Brahmin? Adakah Muslim ini nama sesuatu kasta atau kelas seperti yang terdapat pada orang-orang Hindu? Adakah kita Muslim sebab kita dilahirkan di dalam masyarakat yang dipanggil masyarakat Muslim? Apakah jawaban kita? Jawaban kita sudah tentu tidak. Orang yang sedemikian bukanlah Muslim yang sebenarnya. Seseorang itu Muslim sebab ia menerima Islam. Kalau ia menolak Islam, ia bukan lagi Muslim. Samada seseorang itu orang Brahmin, atau Inggeris, atau Negro atau Cina, atau apa-apa bangsa sekali pun, ia akan diterima masuk ke dalam kumpulan masyarakat Islam bila ia menerima dan mengakui akan Islam. Akan tetapi, seseorang itu akan disingkirkan daripada masyarakat Islam apabila ia menolak dan menidakkan Islam walaupun ia adalah anak seorang Sayyid atau Pathan.

Sekarang fahamlah kita bahawa nikmat serta kurnia terbesar Allah Subha Nahu Wa Ta’ala kepada kita ialah Islam. Ia bukanlah sampai kepada kita atas sebab keturunan atau bangsa. Ia bukanlah suatu benda yang secara sepontan sahaja berada pada kita samada kita ambil peduli atau tidak. Islam adalah suatu nikmat yang kita perlu usahakan untuk mendapatkannya. Jika kita berusaha bertungkus-lumus untuk mendapatkannya, kita akan layak menerimanya. Akan tetapi, jika kita tidak memperdulikannya, maka nikmat yang paling berharga ini adakan ditarik balik daripada kita. Na’uzubilla himinzalik-Semoga Allah menjauhkan hal demikian daripada kita.

Erti menerima Islam

Kita semua sekarang sudah tahu bahawa seseorang itu Muslim bila ia menerima Islam. Walaubagaimanapun, satu tanda tanya timbul di kepala kita. Apakah erti menerima Islam itu? Bagaimanakah kita boleh dianggap atau dikatakan telah menerima Islam? Memadaikah kita ini dikatakan menerima Islam dengan hanya berkata: “Saya telah menjadi seorang Islam atau saya telah menerima Islam?”

Adakah seseorang itu dikatakan menerima Islam bila ia boleh melafazkan beberapa patah perkataan Arab tanpa memahami maksudnya sebagaimana seorang Brahmin membaca beberapa ayat mentera Sanskrit yang dia sendiri tidak mengerti? Jawaban kita sudah tentu begini: “Seseorang itu dikatakan menerima Islam apabila ia menerima keIslamannya itu dengan sedar (siuman) dan sengaja (tanpa paksaan) dan beramal serta bertindak sesuai dengan kehendak Islam itu sendiri.”

Rujukan: Iman Islam Jihad, Sayyid Abul A’la Maududi

No comments:

Post a Comment