Setiap dari kita tentunya pernah melalui hari-hari baru dengan penuh kegelisahan dan keraguan. Tentunya ada hari-hari dimana jiwa kita terasa lemah dan payah untuk bangun dan menghadapi tekanan dan cabaran kehidupan.
Inilah sebenarnya hakikat diri kita. Lemah, serba kekurangan, tidak berdaya dan sentiasa memerlukan pergantungan kepada yang lebih kuat dan agung. Mungkin persoalannya; pada siapa kita sandarkan harapan kita, pada siapa kita tujukan segala keluhan dan keresahan jiwa kita dan pada siapa kita menagih simpati dan pertolongan. Di dalam beberapa tempat di dalam al Quran, Allah menggambarkan bahawa manusia ini memang lemah. Ya, kerana kelemahan itulah salah satu sifat sebagai hamba. Kita adalah HAMBA ALLAH yang sentiasa memerlukan taufiq dan hidayahNya.
Oleh itu kelemahan jiwa bukanlah penyakit yang sebenar tetapi simtom atau tanda bahawa hati kita sedang lemah pergantungannya kepada Allah SWT. Ada juga manusia yang cuba keluar dari sangkar kelemahan ini dengan cara yang salah lalu dibangunkan empayar kekuasaan dan kekayaannya, ditakluki pangkat dan dunia hingga dia memiliki segal-galanya. Dan benar, dia memiliki segala-galanya kecuali ketenangan, lapang dada, rasa aman, lapang dan cukup dengan apa yang dimilikinya.
Seorang Atheis berkata "Beriman pada tuhan adalah tanda kelemahan jiwa, bahkan manusia sebenarnya lebih hebat" lalu slogan inilah yang dijadikan sebagai dasar peradaban barat. Di atas dasar inilah gereja-geraja dipisahkan dari pengurusan dan pentadbiran kehidupan manusia lalu apa yang terjadi sekarang. Adakah mereka benar-benar berbahagia? Ya, memang mereka berbahagia lalu terbina banyak 'rumah-rumah bahagia' untuk mereka yang terselamat dari bunuh diri, pengambilan arak dan dadah berlebihan dan sebagainya.
Hari ini Steven Covey dan banyak lagi pakar-pakar jiwa mereka mula kembali kepada ketuhanan lalu digembar gemburkan SQ (Spiritual Quation) dan umat Islampun ada yang kagum seolah-olahnya SQ perkara baru yang tak pernah diperkenalkan oleh Islam.
Oleh itu pangkal bagi segala kelemahan jiwa ialah lemahnya pergantungan dan keimanan kita kepada Allah SWT. Saya yakin semua kita bersetuju dengan penyataan ini, cuma bagaimana kita menterjemahkan konsep ini secara amali?-from abu umar
No comments:
Post a Comment