KLIA, 19 Mei – Ibarat lebah menghurungi sarang. Begitulah ramainya sahabat handai dan sanak saudara kepada relawan NGO-NGO Malaysia yang berlepas ke Gaza tengah malam tadi dari KLIA ke Istanbul, Turki.
Semacam ada debaran semasa setiap ahli diberikan peluang untuk berucap kepada 80 orang hadirin pengiring pada malam itu. Ada yang tekun mendengar, ada yang terkelu, ada yang tersenyum dan ada pula yang menitiskan airmata. Apa tidaknya.
Misi kali ini jelas buat pertama kalinya melibatkan kepimpinan kanan NGO-NGO Islam dari Malaysia memasuki kancah peperangan yang masih tiada tanda hentinya. Bak kata ketua misi Lifeline 4 Gaza (LL4G), Haji Noorazman Mohd Samsuddin, “Perginya kami kali ini belum tentu kami akan kembali. Oleh itu kami sangat-sangat memerlukan doa tuan-puan semua semoga Allah SWT melindungi kami semasa perjalanan misi ini.” Kenyataan beliau disambut isakan seorang isteri relawan yang sedang memegang tangan anak kecilnya yang belum mengerti mengapa ayahnya membawanya ke KLIA pada kegelapan malam dan samada ayahnya akan kembali untuk mencium pipinya lagi.
Begitulah kekentalan dan tekad jiwa-jiwa yang telah dipilih oleh Allah SWT untuk menyertai misi sulung menyusuri flotilla kapal kargo dan penumpang dalam hasrat menerobos tembok kematian binaan Israel, Mesir dan konco-konco mereka. Kental juga adalah semangat para-para isteri yang telah merelakan suami mereka pergi mencari keredhaan Allah SWT. Lapan orang relawan itulah yang Allah telah pilih untuk membawa amanat rakyat Malaysia yang telah berkorban wang ringgit mereka demi menyelamatkan Al-Quds dan membebaskan Palestin bumi para anbiya’ itu. Inilah saatnya wira-wira Malaysia berlepas pergi.
Suasana di KLIA seakan suram, tidak seceria seperti selalu bila ahli-ahli NGO Islam bertemu setempat. Anak-anak serta isteri para relawan seakan tidak mahu melepaskan genggaman tangan ayah dan suami mereka. Basah mata mereka, basah juga mata para sahabat dan sahibah yang mengirim rombongan ini. Isteri dan anak-anak dicium, dipeluk erat-erat.
Mungkinkah ini kali terakhir?
Laporan propaganda pihak Zionis Israel beberapa hari yang lepas yang menyatakan mereka tidak akan membenarkan sama-sekali sebarang flotilla merentasi lautan malahan akan menggunakan kekerasan bermain di benak setiap yang hadir di KLIA malam itu.
“Kita tidak gentar, dan kita tidak akan berpatah balik. Seandainya kami syahid, maka itulah ketetapan daripada Allah SWT. Kami mengharapkan doa anda, kerana doa itu adalah senjata mustajab orang-orang mukmin. Jangan lupa bersolat hajat agar misi kita untuk menyampaikan bantuan kepada rakyat dan bumi Gaza ini akan dikabulkan akhirnya oleh Allah SWT. Seandainya kami gugur, maka maafkanlah kesilapan kami, dan relakanlah pemergian kami menemui Allah SWT,” berkata Haji Noorazman yang juga Pengerusi Biro HALUAN Palestin yang telah diamanahkan oleh IHH (The Foundation for Human Rights and Freedoms and Humanitarion Relief) untuk mengatur delegasi Malaysia sempena projek trans-samudera LL4G ini.
LL4G Malaysia dan HALUAN Malaysia mengucapkan selamat berjuang, selamat kembali dan semoga Allah SWT meredhai anda semasa melaksanakan misi ini. Wira-wira NGO Islam kita terdiri daripada :
1. Haji Noorazman Mohd Samsuddin (Biro HALUAN Palestin) -Ketua Misi
2. Haji Jamuliddin Bin Elias (Yayasan Amal)
3. Selamat Ali (Jemaah Islah Malaysia)
4. Abdul Halim Mohd Redzuan (Muslim Care)
5. Dr Arbaai Shawal (Biro HALUAN Palestin)
6. Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan al-Haddad (Biro HALUAN Palestin)
7. Ustaz Alhami Husain Suhaimi (Biro HALUAN Palestin)
8. Mohd Nizam Awang (Biro HALUAN Palestin)
Perkembangan terkini konvoi LL4G dapat diikuti melalui saluran Radio IKIM.FM secara lintas-langsung setiap jam 10.00 malam waktu Malaysia. Bahan berita bercetak pula boleh didapati di dalam akhbar Sinar Harian.
Ikuti perkembangan selanjutnya misi LL4G ini di laman web www.haluanpalestin.org atau www.lifeline4gaza.org.
Nama Akaun: Tabung Palestin HALUAN
BIMB: 14-023-01-003429-2
Maybank: 5644 9020 8528
25 Mei – Ankara memperingatkan Regim Zionis Israel agar tidak mengganggu perjalanan kapal misi kemanusiaan dari Turki yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza. Akhbar Aksam, terbitan Turki mengutip laporan laman sesawang Debkafile menulis, Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengancam akan mengerahkan helicopter Turki untuk mengawal kapal yang membawa bantuan kemanusiaan, sebagai langkah berjaga-jaga.
Kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza yang bertolak dari Turki itu adalah konvoi bantuan kemanusiaan ketiga dari seluruh dunia untuk membantu Palestin. Konvoi ini dicetuskan setelah tindakan sekatan sebarang bantuan masuk ke Gaza dikuatkuasakan oleh Zionis Israel terhadap kawasan Gaza.
Dilaporkan, kapal Turki itu selain mengangkut bahan-bahan makanan dan ubat-ubatan, juga membawa peralatan pembinaan dan generator. (IRIB/fn)
No comments:
Post a Comment