Ustaz Dahlan telah tiada...
Oleh : Nawal Abd Kadir
Bismillahirrahmanirrahim...
terasa ingin berkongsi rentetan kisah yang terjadi hari ini. Kisah sedih yang mengundang air mata di setiap wajah yang melihat keadaan Ustaz, juga pada raut mereka yang menatap wajah suci ustaz yang telah pergi menyahut seruan Ilahi..tiada dapat ditahan sebak itu, tiada dapat disekat air mata itu... Begitulah impak pemergian seorang GURU juga MUROBBI kepada semua anak-anak muridnya, semua pengikut dan setiap insan yang mengenalinya...
Ustaz ini ialah al-Fadhil Dato' Kaya Bakti Ustaz Dahlan Mohd Zain.
Beliau ibarat seorang bapa kepada semua.
Beliau adalah Mudir pelajar-pelajar MATRI.
Beliau adalah Ustaz yang tidak jemu mencurahkan Ilmu.
Beliau adalah seorang da'ie yang tiada penat menyebarkan dakwah dan tarbiyyah.
Ustaz Dahlan adalah segalanya bagi kita semua yang mengasihiNya kerana Allah swt.
Hari ini, hari Sabtu : 18 September 2010, jam 9.55am Ustaz Dahlan telah pergi meninggalkan kita semua. Cuba saya kongsikan rentetan peristiwa pagi tadi...
" Lebih kurang jam 5.00 am terdengar bunyi kereta,pintu pagar dan motosikal...tidurku sedari malam tadi kurang nyenyak, asyik terjaga dan berubah tempat. Justeru mendengar bunyi-bunyian di luar mengundang tanya dalam benakku. Namun, tidak pula aku keluar daripada bilik. Jam 5.30am, aku terdengar bunyi motor pulak..ingat abah ke masjid.. Tiba-tiba terdengar suara Ummi memanggilku dari luar bilik..aku menerpa keluar..
Kata Ummi " Ustaz Dahlan nazak...". Jantungku tersentak. Ya Allah...
" Abah p tengok ustaz ka?" Aku menyoal tapi tiada jawapan.
Cerita Ummi begini; Setelah menerima berita Ustaz Dahlan sedang nazak, Abah bergegas menuju ke Wad CCU di HTTF..namun abah mendapati tiada sesiapa di situ, rupanya ustaz sudah dipindahkan ke Wad First Class. Abah pulang ke rumah dan bertanya Ummi. Mu'az pula keluar dengan Nabil pergi menziarahi Ustaz pada jam 5.30 am. Kemudian, abah pergi menziarahi Ustaz bersama dengan Ummi jam 6am lebih..
Aku tinggal bersama adik-adik. Setelah Ummi pulang aku bersiap untuk pergi menziarahi Ustaz, namun tiada peneman. Lalu aku menunggu Abah untuk pulang kerana ingin menggunakan motosikal. Dalam pada itu aku menghantar sms kepada Yusra dan Ana Razak. Mana tahu aku boleh menumpang mereka untuk menziarahi ustaz. Namun, Yusra baru sahaja kembali daripada hospital manakala Ana tidak membalas sms ku.. Aku duduk menunggu sambil menyediakan sarapan pagi. Dalam hati berdoa agar aku sempat menziarahi ustaz..aku turut berdoa agar Ustaz boleh bertahan untuk beberapa hari kerana Matri akan dibuka semula selepas cuti pada hari Ahad ini. Justeru ramai pelajar Matri yg berhajat untuk menziarahi ustaz...Terus kuberdoa..
Hatiku sudah tidak sedap. Berdebar-debar. Aku melihat jam..ketika itu 9.35am..Abah masih tidak pulang..sementara menunggu aku membuka labtopku dan melihat status di fb..Hilal menyatakan kondisi ustaz..dalam pada itu ummi memberitahu Ustaz akan dibawa pulang ke rumah. Cepatnya nak bawa ust balik. Desisku sendiri.
" Ummi, ustaz tak dak harapan dah ka?" soalku pada Ummi.
Ummi mengiakan kataku. Hati rasa bagai digerit-gerit. Hajat nak keluar menziarahi ustaz terbantut pula kerana ustaz sudah dipindahkan ke rumah. Lalu aku mengajak Ummi menemaniku ke rumah Ustaz. Aku bersetuju untuk memandu kereta. Sementara Ummi bersiap, aku kembali ke labtopku.. aku menulis di status hilal tentang kepulangan ustaz ke rumahnya di Mata Ayer..
Ketika itu jam 9.50am... Aku berkira-kira untuk menulis di ruang fb ku untuk meminta sahabat-sahabat mendoakan Ustaz...tiba-tiba terdengar suara Ummi sebak..
" Nawal..!! Nawal..!! Ustaz tak dak dah...".
Aku terdiam. Terpaku depan labtopku. Jantungku berdegup pantas. Hatiku sakit tetapi tiada air mata yang mengalir. Terasa sedikit terkilan tidak dapat menziarahi dan menatap wajah ustaz tatkala nyawa masih dikandung jasadnya yang kurus... Aku pantas menghantar sms kepada sahabat-sahabatku yang dekat dan yang jauh terutamanya...mereka-mereka yg sempat terlintas di fikiranku..
Aku bergegas bersiap. Ummi menelefon Mak Cik Masturah. Mak Cik Mas baru tiba daripada Sg.Petani. Aku keluar bersama Ummi dan menjemput Mak Cik Mas di rumahnya. Setelah itu kami menjemput Mak Cik Na. Kami berempat bergerak menuju Mata Ayer. Dalam perjalanan yang sunyi itu sesekali terdengar suara mereka bertiga menyatakan rasa sedih dan terkejut kerana masing-masing meletakkan dalam hati secebis harapan agar ustaz sedar dan dapat bersama keluarga serta isteri. Namun, tentu perancangan dan penyusunan Allah lebih baik.
Kami tiba di rumah Ustaz lebih kurang jam 10.30am. Keadaan di rumah itu senyap sahaja. Kelihatan para sahabat duduk di luar rumah dan sahibah berada di dalam rumah. Ketika itu kelihatan sahabat dan sahibah daripada Perlis dan negeri-negeri utara yang ada di situ. Kami bersalam-salam dengan mereka dan tentunya dengan Aunty Nali. Setelah duduk seketika dan sahabat2 keluar daripada bilik Ustaz, antara yang sempat ku lihat ialah Ust.Hadi,Ust.Omar, Ust.Zainuddin,Cg.Nordin dsb. Kemudian, kami masuk ke bilik ustaz.
Subhanallah... tiada kata dapat diungkapkan melainkan air mata yang mengalir. Sedih melihat ustaz yang kurus begitu. Sudah lama aku tidak menatap wajah ustaz. Paling akhir aku melihat ustaz adalah ketika Hari Kece di Matri pada bulan lima. Kemudian, kelihatan Abg Zaini membawa 3 anak daranya melihat ustaz. Mereka bergilir mencium dahi ustaz dan kemudian masing-masing menangis. Mereka memeluk Abg Zaini dan esakan mereka semakin kuat. Aku bertambah menangis melihat mereka yang kehilangan 'tok bah' kesayangan mereka. Kemudian mereka bergerak memeluk Aunty Nali yang berada di sebelah kanan katil Ustaz.
Sungguh. Sesiapa sahaja yang melihat wajah ustaz kala itu pasti akan menangis. Ustaz sangat kurus dan cengkung. Aku meredhakan pemergian ustaz yang dikasihi.. Allah telah merehatkan ustaz dalam kerehatan yang panjang setelah ustaz berjuang sepenuh hati dan jiwanya sepanjang kehidupanya di atas muka bumi Allah ini.
Seusai keluar daripada bilik ustaz, kami pun beransur pulang. Kami pulang ke rumah dan memasak nasi untuk ahli keluarga ustaz. Kemudian, aku bersama Yusra membawa nasi putih ke rumah ustaz pada jam 12.30pm. Lauk pula dibeli oleh Cikgu Nordin. Kak Ayan memintaku menghantar nasi itu ke rumah tok / rumah Pak Usu.
( Pak Usu sekeluarga tiada di rumah kerana mereka berada di Kelantan. Orang terdekat dengan Ustaz tiada di sisi saat pemergianya.Ini juga penyusunan Allah.).
Kemudian, aku menemani Yusra,Amni dan Nuha ke bilik ustaz sekali lagi. Yusra juga menitiskan air matanya saat melihat wajah ustaz... Kelihatan Afdholul Rahman dan seorang sahabat membaca ayat suci al-Quran di sisi ustaz.. Sekejap sahaja disitu dan kami beransur ke rumah Tok.( ibu kepada Ummi Halimaton ).
Kami keluar mengikut pintu belakang rumah ustaz. Aku terpandang stor arwah Ummi Halimaton. Tergambar di fikiranku susuk tubuh Ummi di situ mencari barang-barang. Aku berasa sangat sebak dan menangis. Aku sangat rindukan Ummi Halimaton. Kini, ustaz pula menyusul pemergian isteri tercinta. Tahun lepas 14 Mei 2009, pemergian Ummi telah menyentap tangkai jantungku. Kesedihan menyelubungi semua yang mengasihinya. Kini, kisah berulang lagi apabila ustaz Dahlan pula pergi menghadap Ilahi...
Kami berempat duduk di rumah tok dan membaca surah Yaasin bagi mengisi ruang masa yang ada. Sir Abduh ada menghantar sms supaya tidak berbual kosong dan mengisi masa dengan berzikir, membaca al-Quran ataupun diam sahaja. Kemudian, para sahabat menunaikan solah zuhur di Rumah Pak usu/Tok itu. dan kira-kira jam 2.30pm kami pulang ke rumah.
Jam 4pm. Aku, Ummi, Muaz,Nuha dan Yaasir bergerak ke Matri untuk solah Asar dan solah jenazah. Jalan untuk masuk ke Matri sesak. Tempat parking juga penuh. Kami meletakkan kereta di dewan makan dan berjalan menuju musolla. Ketika kami sampai jenazah sudah sampai dan dibawa ke atas musollah. Begitu ramai sahabat dan sahibah yang dapat kulihat namun tidak semua dapat kusapa. Ramai anak-anak murid ustaz berada di bumi Matri daripada batch pertama sehingga lah batch sekarang...subhanallah...
Selesai solah jenazah, aku gegas turun ke bawah untuk melihat jenazah di bawa ke van jenazah. Kemudian, kami berempat berserta MakCik Sarah (pakcik Nasa,Jalan Kebun) menaiki kereta ke tanah perkuburan Kg.Tunjong.. Sebenarnya solah jenazah turut dilakukan di rumah Ustaz sepertimana Ummi Halimaton dulu sebelum dibawa ke Matri.
Sewaktu Ummi Halimaton dahulu, tazkirah di kubur diberikan oleh Ust.Omar, namun tazkirah setelah pengkebumian Ustaz Dahlan diberikan oleh Abu Ammar. Tazkirah diberi dalam Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris. Sungguh sayu suasana ketika itu. Aku tidak dapat mendengar dengan jelas kerana ramainya orang membanjiri kawasan perkuburan. Kulihat air mata kak Amani, dan sahibah-sahibah lain mengalir saat tazkirah disampaikan. Aku kesana kemari melayan kerenah Abdullah Yaasir yang mula merengek.
Dalam pada itu, sempat juga aku menziarahi pusara Ummi Halimaton yang sangat kukasihi. Ramai juga yang ikut menziarahi pusara Ummi kesayangan ramai itu. Setelah selesai tazkirah, masing-masing bersalaman dan beransur pulang. Sempat ku dengar cerita Kak Amani yang berkisah dengan sahibah saat abahnya dijemput Allah. Menurut Kak Amani, Ustaz melepas dua kali nafas secara perlahan sahaja. Ketika itu, di sisi Ustaz ada Ust.Hadi,sahabat-sahabat dan anak-anak Ustaz. Tiada yang terkilan,kata Kak Amani. Alhamdulillah.
Kak Amani juga menyebut bahawa selepas jenazah Ustaz dimandikan dan dikucup oleh ahli keluarga dan cucu-cucu, anak murid ustaz turut diberi peluang untuk mengucup dahi ustaz. Ramai yang berkesempatan berbuat demikian dan semuanya menangis. " Masing-masing menangis macam abah mereka sendiri yang tiada" begitulah kata Kak Amani yang bercerita dalam sebak. Sungguh tabah anak perempuan tunggal Ust.Dahlan dan Ummi Halimaton itu..Keadaan Aunty Nali juga sungguh tabah dan kuat. Aunty sempat berbakti kepada Ustaz dengan menjaganya sepenuh jiwa dan raga. Itu dapat kulihat dari raut wajah bersih Aunty Nali yang kukasihi...
Begitulah serba sedikit kisah hari ini. Kisah aku menghadapi pemergian seorang Murabbi Hakiki.
Kata Ummiku..Allah mengambil Ustaz sedikit demi sedikit daripada kita supaya kita tidak terkejut. Ya lah, ustaz sudah koma hampir 44 hari semenjak 8/8/10 lagi.. Semakin lama kita mendapat berita tentang prestasi kesihatan Ustaz, walaupun jauh di sudut hati kita berat nak melepaskan ustaz, namun sedikit sebanyak hati sudah bersedia untuk menerima keadaan yang tidak dijangkakan...Ya. Janji Allah itu benar. Mati itu pasti. Bersediakah kita yang masih hidup ini?
Dalam kisahku ini dapatlah digambarkan betapa sedih dan pilunya semua apabila mendengar berita tentang Ustaz. Dari jauh bergegas bertolak datang ke Perlis tanpa mengira penat dan lelah. Ustaz Dahlan abah kita semua yang sangat sabar,tegas,menunjukkan qudwah hasanah,dan dirinya disimbahi hikmah dan akhlak yang menyentuh hati. Tidak hairanlah mengapa kita sangat kasih kepadanya dan sangat tersentuh dengan pemergianya. Dapat juga kita lihat ukhuwwah islamiyyah yang terjalin antara sahabat sahibah seluruh Malaysia,juga pelajar Matri, juga anak-anak murid Ustaz Dahlan.
Moga keutuhan jalinan hati ini sentiasa terikat atas keimanan dan ketaqwaan kepada Allah swt walaupun setelah pemergian Ustaz Dahlan. Mari sama-sama kita buktikan kecintaan kita kepada Ustaz Dahlan keranaNYa dengan berkerja keras di atas medan dakwah dan tarbiyyah demi memastikan kelangsungan tarbiyyah imaniyyah ini sampai ke dalam hati masyarakat kita.
Aku memohon maaf andai ada salah dan silap dalam setiap kata saatku berkisah ini. Moga Allah redha kita semua."
p/s:saya kira segala catatan nawal,sahabat saya ketika di MATRI dapat memperincikan apa yang berlaku sekitar 18 Sept 2010..nawal, sahabat saya yang rapat dengan ummi, ustaz dahlan..jadi tidak hairanlah jika nawal begitu merasai pemergian ustaz dan ummi serta beberapa lagi murobbi di kg.Tunjung..Alhamdulillah, Allah memberi keizinan untuk saya turut bersama2 mereka sepanjang 5 tahun berkelana di MATRI dan ianya tidak stop setakat itu kerana saya turut berulang alik ke MATRI sehingga kini jika ada urusan tertentu.. Sehingga kini, saya bersyukur kerana ibubapa menghantar saya ke sebuah sekolah TERBAIK in the World (bak kata sir Abdoh)..
Meminjam kata2 ust.muzakkir dlm fbnya:
"Dulu, orang pertikai tindakanya membina sekolah ditengah hutan getah, kini
siapa sahaja yang berada di Perlis dan sekitarnya akan mengetahui
betapa luas dan banyaknya perumahan yang berada disekeliling
MATRI. Dulu, orang berbicara tentang surau yang terlalu besar , kini MATRI sedang mengalami masalah sempitnya surau.Dulu, pelajarny...a boleh dikira dengan jari, kini muridnya berada diseluruh Malaysia! (UDMZ)"
siapa sahaja yang berada di Perlis dan sekitarnya akan mengetahui
betapa luas dan banyaknya perumahan yang berada disekeliling
MATRI. Dulu, orang berbicara tentang surau yang terlalu besar , kini MATRI sedang mengalami masalah sempitnya surau.Dulu, pelajarny...a boleh dikira dengan jari, kini muridnya berada diseluruh Malaysia! (UDMZ)"
No comments:
Post a Comment